Search This Blog

Wednesday 25 August 2010

Apakah erti nilai?

Setiap orang menggunakan perkataan nilai (value). Nilai moral, nilai tambah, nilai positif, nilai wang, nilai pesonal, cipta nilai dan pelbagai lagi. Oleh itu nilai merupakan satu konstruk yang boleh didefinisikan dengan pelbagai pengertian. Ia bersifat pragmatik iaitu berubah mengikut situasi, masa, bidang pengajian dan pelbagai lagi.


Dalam aspek psikologi Watson (1966) dan Rokeach (1973) menyatakan nilai ini menjadi kompas atau penentu kepada sikap seseorang itu (Levy 2006). Ramai pengkaji seperti Rafaeli & Raban (2003), Reynolds & Jolly (1980) telah mengenalpasti bahawa nilai merupakan konstruk kognitif yang memberi kesan kepada perlakuan manusia(Levy 2006).

Oleh yang demikian, takrifan secara umumnya nilai boleh dinyatakan sebagai budaya yang mempertimbangkan keutamaan/kepentingan/keyakinan/pangkat/harga/kuasa/ketahanan seseorang terhadap sesuatu sehingga mengubah tingkahlaku. Jelasnya, perubahan tingkahlaku seseorang itu dalam sesuatu ketika tertentu mempunyai kaitan rapat dengan pengaruh persepsi terhadap nilai (Robbins et al. 2004).


Selain itu kajian Beatty, Kahle, Homer, & Misra (1985) telah membuktikan terdapat hubungan di antara nilai, sikap dan tingkahlaku seperti di bawah(Levy 2006):

Nilai (Value) ==> Sikap (Attitude) ==> Tingkahlaku (Behavior)

Berasaskan hubungan tersebut, jelas bahawa konstruk nilai memainkan peranan yang besar dalam mempengaruhi sikap dan tingkahlaku seseorang.

Nilai juga sering dikaitkan dengan aktiviti perniagaan iaitu nisbah kualiti sesuatu perkhidmatan atau produk berbanding dengan kos (harga) yang dikeluarkan(Sweeney 2002; Sandström et al. 2008). Dengan kata lain semakin berkualiti sesuatu perkhidmatan atau produk maka semakin tinggi harga yang dikenakan. Selain daripada itu nilai ini adalah nisbah keuntungan (benefits) yang diterima berbanding dengan tanggungan (burden) yang dipikul oleh pengguna(Ulaga 2001). Kedua-dua definisi di atas memperlihat konteks nilai dalam pertukaran nilai wang dan sesuatu yang patut diterima oleh pengguna daripada satu pihak lain yang telah menyediakan perkhidmatan atau mengeluarkan produk. Ini merupakan pandangan tradisonal terhadap nilai yang menggunakan pendekatan Goods-Dominant Logic (GD-L) di mana nilai itu ditukar dengan wang setelah sesuatu produk dihasilkan. Hanya satu pihak yang terlibat sepenuhnya dalam mencipta nilai terhadap sesuatu produk - lazimnya melibatkan pertukaran produk dan wang(Vargo et al. 2008). Mana kala pihak pengguna hanya perlu menerima saranan nilai (value proposition) yang disediakan oleh pengeluar.


Pada ketika ini, satu perspektif baru terhadap konsep nilai telah diperkenalkan dengan mengambil pendekatan bahawa sesuatu perkhidmatan atau produk itu akan dianggap bernilai sehingga ia digunakan oleh pengguna(Vargo S. L. & Lusch R.L. 2004). Kondisi ini dikenali dengan nilai semasa-guna (value-in-use); dengan erti kata lain sesuatu perkhidmatan atau produk tidak mempunyai sebarang nilai selagi mana ia tidak digunakan walaupun kualitinya baik dan harganya mahal. Oleh itu pengguna yang bertanggungjawab menentukan dan mencipta-sama (co-creation) nilai terhadap sesuatu perkhidmatan(Sandström et al. 2008). Pendekatan alternatif ini dikenali sebagi Service-Dominant Logic (SD-L) di mana kedua-dua pihak; pengeluar dan pengguna sama-sama berinteraksi dan cipta-sama produk atau perkhidmatan yang bakal disediakan melalui integrasi sumber dan keupayaan menggunakannya(Vargo et al. 2008). Sehubungan dengan itu pengalaman pengguna merupakan tunjang dalam menentukan nilai(Prahalad & Ramaswamy 2004) terhadap sesuatu perkhidmatan.

So how these information relate to my work??? 

No comments:

Post a Comment